AFRIKA SELATAN – Seorang pendaki gunung, Tsenolo Shadrack Rasello, 26, melalui pengalaman menakutkan. Kakinya terpaksa dipotong selepas 50 jam tersepit di celah batu ketika dia terperangkap di gunung yang berbahaya, Magaliesberg.
Selepas menghubungi pasukan penyelamat dengan telefon bimbitnya, kaki Rasello terpaksa dipotong di kawasan di mana dia terperangkap.
Sebanyak tujuh helikopter dengan lebih 100 anggota penyelamat terlibat dalam pembedahan memotong kakinya di kawasan pergunungan itu.
Dia sedang mencari `air suci’ di kawasan pergunungan itu ketika terjatuh di antara dua batu, akibat terperanjat dengan kehadiran seekor ular.
Selepas terjatuh, dia menghubungi pasukan penyelamat semalam, namun mereka hanya berjaya sampai ke tempatnya pada hari keesokannya disebabkan kesukaran mengesan kedudukannya.
“Tolong berikan saya air, saya tidak minum sejak pagi semalam.
“Jika anda terpaksa memotong kaki saya, lakukannya. Cuma keluarkan saya dari sini,’’ itu yang dinyatakan oleh Rasello kepada pasukan penyelamat ketika mereka menemuinya.
Kakinya dipotong oleh pakar bedah dan mereka berada bersamanya di kawasan pergunungan itu selama beberapa jam sehingga pembedahan selesai.
Keadaannya itu sama seperti yang dilalui oleh seorang pendaki gunung dari Amerika Syarikat, Aron Ralston yang terperangkap selama 127 jam, memaksa dia memotong sendiri tangannya.
Kisah Ralston itu telah difilemkan dan wataknya dilakonkan oleh James Franco.