PUTRAJAYA – Akta Hasutan 1948 perlu terus dikekalkan bagi memelihara keamanan negara yang dibina sejak Malaysia mencapai kemerdekaan, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ismail Sabri, yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno, berkata janganlah disebabkan kehendak golongan minoriti yang ingin akta itu dihapuskan, golongan majoriti terkena tempiasnya akibat huru-hara selepas ketiadaan akta tersebut.
“Belum pun akta ini dihapuskan kita lihat pelbagai penghinaan terhadap agama, kaum dan institusi Raja-Raja Melayu dilakukan pihak tidak bertanggungjawab atas tiket kebebasan bersuara,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan kementerian tersebut di sini hari ini.
Ismail Sabri berkata sekiranya Akta Hasutan dihapuskan, misi kerajaan untuk mencapai status negara maju menjelang tahun 2020 juga akan menuju kegagalan.
Katanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara perlu mengambil tindakan tegas ke atas golongan minoriti yang cuba menggugat keharmonian negara dengan cara mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan.
“Tahniah kepada PDRM dan Peguam Negara kerana telah menangkap serta mendakwa beberapa pihak berkaitan, tindakan yang diambil berdasarkan kenyataan yang dibuat, bukan siapa yang membuat kenyataan,” kata Ismail Sabri.
Pada majlis sama, beliau melancarkan Kad Komuniti Usahawan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional, Portal Usahawan Tekun dan Peranti Bergerak Sistem Kutipan Bayaran Balik Tekun Nasional.
“Kad komuniti tersebut adalah satu inisiatif untuk menghargai usahawan Tekun di mana pemegang kad berpeluang untuk menikmati potongan harga melalui pembelian di premis yang disenaraikan,” katanya. – BERNAMA