TUMPAT (Kelantan) – Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor pada 25 September ini yang akan melibatkan Barisan Nasional (BN) pasti akan diketahui dan dilaporkan agensi berita asing di New York, Amerika Syarikat.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ini adalah kerana ketika ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sedang berada di sana untuk menghadiri untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sana.
“Berita Pengkalan Kubor menang atau tak menang ni akan sampai ke New York, hari itu juga diumumkan malam itu, dengan sistem teknologi moden akan keluar di sana.
“Maruah negara kita, maruah Perdana Menteri kita, jadi pastikan kita beroleh kejayaan yang cemerlang di Pengkalan Kubor,” katanya ketika berucap dalam majlis ramah mesra bersama penduduk Kampung Telaga Bata di Pengkalan Kubor hari ini.
Malaysia ketika ini sedang berusaha untuk mendapatkan satu kerusi anggota tidak tetap di dalam Majlis Keselamatan PBB dan itu menandakan biarpun kecil peranan Malaysia di mata dunia adalah amat besar.
http://youtu.be/1wRNfCIHmDM
Sementara itu, sejak mula berkempen ada ketika Muhyiddin, turun membuat lawatan ke sana dan pelbagai jenis peruntukan diberikan untuk pembaikan masjid dan surau di sekitar DUN berkenaan.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata kedatangan Muhyiddin ke kawasan DUN berkenaan membawa banyak rahmat dan nikmat khususnya sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pengkalan Kubor.
“Tan Sri mari dua hari lepas, Tan Sri luluskan peruntukan untuk dua masjid dan dua surau, Masjid di Kampung Simpangan RM500,000, Masjid Pak Keral RM300,000… Madrasah Pondok Haji Daud RM50,000.
“Nikmat, inilah yang kerajaan Barisan Nasional (BN) boleh buat,” kata Mustapa di majlis yang sama.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan berharap kawasan PDM Telaga Bata akan berjaya mencapai kemenangan selepas BN tidak pernah menang di situ sepanjang pilihan raya diadakan.
http://youtu.be/oT6H90qio8s
“Di sini (Telaga Bata) kita ada 1710 pengundi, tidak pernah menang, jadi kita nak Pemuda kerja kuat, Wanita kerja kuat, Puteri kerja kuat, dengan itu kita akan mencapai kemenangan,” katanya.
Pada PRK itu, calon BN Mat Razi Mat Ail, berhadapan dengan calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan seorang calon bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.
Kerusi DUN Pengkalan Kubor kosong selepas penyandangnya dari BN Datuk Noor Zahidi Omar meninggal dunia pada 20 Ogos lepas. – MYNEWSHUB.CC
Oleh : IBNU K | Foto dan Video : RIZA RAZAK