GEORGETOWN – Kerajaan Pulau Pinang sedia memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung sebarang siasatan mengenai peruntukan kerajaan negeri yang diluluskan untuk Pasukan Peronda Sukarela (PPS).
Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata kerajaan negeri juga tidak akan menyembunyikan apa-apa maklumat dan mengalu-alukan sebarang siasatan oleh SPRM bagi membuktikan dakwaan terbaru ini (berhubung peruntukan PPS) sebagai satu pembohongan.
Dalam satu kenyataan hari ini, Lim menyifatkan tuduhan itu sebagai “palsu dan penipuan terhadap PPS” yang dilakukan secara berterusan sebagai serangan politik ganas terhadap kerajaan negeri pimpinan DAP.
Semalam, SPRM Pulau Pinang membuat kenyataan bahawa suruhanjaya itu sedang meneliti laporan kemungkinan berlaku penyalahgunaan dana dan peruntukan kerajaan negeri di sebalik penubuhan PPS.
Pengarah SPRM Pulau Pinang Datuk M. Samarajoo berkata pihaknya akan membuka fail siasatan dalam tempoh terdekat sekiranya terdapat penglibatan unsur rasuah yang boleh didakwa di bawah Akta SPRM 2009. – BERNAMA