TUMPAT (Kelantan) – Kerajaan Persekutun sudah pun membelanjakan kira-kira RM590 juta untuk menampung defisit belanja mengurus kerajaan negeri Kelantan sejak lapan tahun lalu kerana negeri Kelantan tidak mampu untuk menampungnya.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata tahun ini sahaja Kerajaan Pusat membelanjakan RM86 juta untuk Kelantan untuk tujuan yang sama tetapi parti PAS tetap menuduh kerajaan Barisan Nasional (BN) zalim.
“Kita dah buat banyak di Kelantan ni tetapi masih lagi dia (PAS) kata kita zalim, rakyat Kelantan ditindas, sebenarnya ini adalah fitnah semata-mata.
http://youtu.be/UPbm4nUtxIw
“Dari segi defisit, umpamanya belanja mengurus, kerajaan negeri Kelantan tidak cukup wang untuk membiayai belanja mengurus dan defisit ditampung kerajaan pusat, RM590 juta dalam tempoh tujuh lapan tahun ini,” kata Mustapa dalam sidang media hari ini.
Menurut Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Kelantan merupakan negeri yang paling teruk kerana mengalami masalah kewangan kerana menghadapi masalah defisit dalam akaun belanja mengurus mereka.
Beliau berkata, biarpun telah banyak perkara dilakukan untuk kebaikan rakyat Kelantan tetapi dalam ceramah, parti PAS masih lagi menggunakan isu zalim itu.
“Saya yakin rakyat Kelantan semakin tahu akan peranan kita di Kelantan ini,” katanya.
Mustapa berkata demikian ketika mengadakan sidang media selepas melawat Pusat Media Kementerian Komunikasi dan Multimedia di kawasan Hospital Tumpat hari ini.
Di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor, sedang berlangsung kempen untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu ang hari mengundinya ditetapkan pada lusa.
PRK Pengkalan Kubor menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, Mat Razi Mat Ail, calon PAS, Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.
Kerusi DUN Pengkalan Kubor kosong selepas penyandangnya dari BN Datuk Noor Zahidi Omar meninggal dunia pada 20 Ogos lalu. – MYNEWSHUB.CC
Oleh : IBNU K | Foto dan Video : RIZA RAZAK