KOTA KINABALU – Kos projek tiga blok bangunan perumahan Kastam di Sepanggar yang sebelum ini dinilai RM69.9 juta telah dikurangkan kepada RM63.9 juta, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong.
Beliau berkata pengurangan kos pembinaan 120 unit rumah itu dibuat selepas dinilai oleh makmal pengurusan nilai selepas tahap pembinaannya kini mencapai 6.1 peratus melepasi sasaran jadual awal sebanyak 4.36 peratus.
“Pengurangan kos ini tidak bermakna kita mengurangkan spesifikasi tetapi pengurangan dari segi (tempoh masa pembinaan) bagi memastikan projek ini dapat dijalankan (disiapkan) lebih cepat.
“Bila lebih cepat (siap), kosnya dapat dikurangkan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja dan pemantauan projek Kementerian Kewangan (MOF) di sini hari ini.
Katanya projek itu dijangka siap pada Julai atau Ogos 2016 dan menurutnya kementerian meluluskan projek perumahan itu selepas tiga blok bangunan Kastam sedia ada diisytihar tidak selamat untuk diduduki.
Chua berkata projek perumahan berkenaan juga penting untuk menampung keperluan pertambahan kakitangan Kastam Sabah pada masa akan datang berikutan pelaksanaan sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mulai April 2015.
Berhubung projek pembinaan Pejabat Kastam Kota Kinabalu bernilai RM75.97 juta, katanya ia berjalan lancar dan dijangka siap seperti dijadual pada 2017.
Katanya projek itu perlu disegerakan atas faktor keselamatan dan keselesaan kakitangan memandangkan pejabat Kastam Kota Kinabalu sedia ada kini beroperasi di bangunan kompleks beli-belah di Tanjung Aru.
“MOF juga prihatin dengan kos pembinaan pejabat Kastam Kota Kinabalu. Maka melalui maklmal pengurusan nilai, kos asal projek ini sebanyak RM76.6 juta telah dikurangkan kepada RM75.97 juta,” katanya. – BERNAMA