KANGAR – Semangat ‘comradeship’ atau persaudaraan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu sentiasa dikukuhkan bagi memastikan kejayaan sesuatu misi, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Syed Putra Jamalullail.
Baginda bertitah institusi tentera yang memfokuskan kepada ciri-ciri kesatuan, berkumpulan dan saling membantu akan lebih mantap jika semangat persaudaraan anggotanya kukuh dan mantap.
“Elemen unik inilah yang menjadikan ATM eksklusif dan insklusif serta membezakannya dengan institusi lain,” titah baginda ketika melancarkan Latihan Kem Tahunan Sukarela Siri Pertama 2014 Rejimen 504 Askar Wataniah di Tasik Melati, Beseri dekat sini, semalam.
Kebangkatan baginda dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut Timbalan Komander Rejimen itu Lt.Kol Zulfakar Abdul Wahid.
Syed Faizuddin yang juga Komander Rejimen 504 berpengkalan di Kem Bukit Ketri bertitah semangat persaudaraan sering dikaitkan dengan institusi tentera kerana elemen penting itu berkait rapat dengan ciri-ciri apabila menghadapi peperangan, risiko terhadap nyawa dan aset pertahanan.
Perhubungan erat, kesatuan dan kekeluargaan dalam kalangan pegawai dan anggota yang dibina melalui semangat persaudaraan memberi impak langsung terhadap tugas atau tanggungjawab dilaksanakan dengan lebih efisien, efektif dan signifikan, titah baginda. – BERNAMA