GEORGETOWN – Seorang lelaki ditahan reman selama dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kejadian sekumpulan individu merempuh pagar utama Dewan Undangan Negeri (Dun) Pulau Pinang di Lebuh Light di sini, Mei lepas.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash berkata, perintah tahanan reman terhadap lelaki berusia 43 tahun dari Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Zon Utara itu bagi membolehkan polis mengambil keterangan dan menjalankan siasatan.
“Lelaki yang merupakan orang terakhir yang dicari bagi membantu siasatan kes itu ditahan petang semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut selepas hadir untuk memberi keterangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Insiden rempuh masuk bangunan Dun oleh sekumpulan pemuda pada 21 Mei lepas adalah untuk mencari Adun Seri Delima, RSN Rayer yang mengatakan “Umno Celaka” dalam ucapannya pada persidangan Dun sehari sebelum itu.
Kumpulan itu bertindak sedemikian bagi mendesak Rayer memohon maaf kerana mengeluarkan perkataan kesat.
Berikutan kejadian itu, 15 individu didakwa di Mahkamah Majistret Georgetown mengikut Seksyen 448 Kanun keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – BERNAMA