GEORGETOWN – Seorang lelaki maut dihempap forklif apabila jentera yang dipandunya itu terbalik di Sungai Dua di sini, hari ini.
Teh Chin Hock, 44, mati di tempat kejadian selepas ditimpa kenderaan yang dianggar seberat tiga tan itu.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pulau Pinang, Superintendan Ibrahim Abu Bakar berkata, dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, forklif itu terlekat ke dalam lopak berlumpur menyebabkan mangsa turun dan cuba mengeluarkan kenderaan itu daripada lumpur.
“Mangsa meminta bantuan seorang pemandu lori yang kebetulan lalu di situ tetapi semasa proses menarik keluar, forklif itu terbalik dan menghempap mangsa manakala pemandu lori sempat mengelak,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat. – BERNAMA