PELUMBA Mercedes AMG Petronas F1, Lewis Hamilton yakin mampu mengungguli baki lima pelumbaan Formula One tahun ini selepas memenangi perlumbaan Grand Prix Singapura di litar lumba Marina Bay Street malam Ahad.
Namun, pelumba Great Britain berumur 29 tahun itu berkata, beliau belum memikirkan gelaran Juara Dunia walaupun beliau sangat positif dengan kemenangan pasukannya.
“Setiap kali menang, perasaan saya seperti baru pertama kali menjuarainya. Saya senang dengan kemenangan itu walaupun sedikit berdebar untuk membayangkannya,”kata Hamilton kepada mynewshub.
Hamilton yang kini dilantik sebagai perunding prestasi teknikal bagi rangkaian minyak pelincir automotif Petronas berkata, beliau kagum dengan prestasi dan kecekapan minyak pelincir yang dibangunkan saintis Petronas itu.
“Lebih daripada menjadi rakan kongsi, PETRONAS adalah sumber teknikal utama pasukan itu dalam bidang minyak pelincir dan bahan api. Dengan menguji cecair itu pada setiap kali pelumbaan, ternyata ia bersedia untuk dikongsi oleh semua pengguna kenderaan di jalan raya,” katanya memberikan maklumat data dan kajian untuk mempertingkatkan prestasi ketika perlumbaan Formula 1 yang kini semakin mencabar.
Dengan kemenangan di Grand Prix Singapura, Hamilton yang mewakili Mercedes AMG Petronas F1 mendahului kejuaraan pemandu sedunia.
Pada perlumbaan itu, pemandu jentera Red Bull dari Jerman, Sebastian Vettel berada di tempat kedua semantara rakan sepasukannya Daniel Ricciardo di tempat ketiga.
Hamilton mencipta masa 2:0:4.795, Vettel (2:0:18.329) dan Ricciardo (2:0:19.068).
Beliau kini memperoleh 241 mata, tiga mata mengatasi Rosberg dengan baki lima pelumbaan. :-MYNEWSHUB.CC
Oleh: SYA