LONDON – Legenda Manchester United, Paul Scholes percaya Liverpool mampu melakar kejutan dengan menjuarai Liga Juara-Juara Eropah musim ini sekalipun tidak diletakkan sebagai pilihan.
Juara lima kali Eropah itu kembali ke kejohanan elit Eropah selepas lima tahun dan akan berdepan kelab Bulgaria, Ludogorets di Anfield, awal pagi ini dalam aksi Kumpulan B yang turut dihuni penyandang juara, Real Madrid.
Scholes, 39 yang dua kali menjulang trofi keagungan itu bersama Man United ketika menjuarai Liga Juara pada 1999 dan 2008 turut meramalkan Anfield akan menjadi laman sukar buat sebarang pelawat.
“Liverpool adalah pasukan yang mampu membuat kejutan pada kejohanan tahun ini,” katanya yang kini bergelar pengulas televisyen.
“Brendan Rodgers (pengurus Liverpool) melakukan kerjanya dengan baik. gaya permainan yang diterapkan adalah menarik untuk dilihat dan pemain juga nampak selesa. Saya rasa mereka akan beraksi dengan baik dengan pemain yang mereka miliki.
“Kelebihan besar mereka ialah peminat di tempat sendiri. Anfield sentiasa tempat yang tidak selesa untuk anda datang, sesuatu yang Manchester City tidak miliki,” katanya.
Liverpool layak ke Liga Juara selepas menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris pada musim 2013/14 di kedudukan kedua di belakang Manchester City.
Begitupun musim ini, mereka kehilangan penyerang utama, Luis Suarez yang dijual kepada Barcelona namun bagi Scholes, penyerang baru, Mario Balotelli mampu menjadi pengganti yang baik.
“Dia (Suarez) pemain yang hebat, namun kamu jangan lupa mereka sudah mendapatkan Balotelli, yang ketika hari terbaiknya boleh menjadi penentu kepada kejuaraan.”
Begitupun, Scholes menyifatkan satu lagi kelab Inggeris, Arsenal yang dijadual menentang Borussia Dortmund, awal pagi ini tidak mampu menjadi pencabar utama kempen kali ini manakala Chelsea dikatakan lebih mengutamakan kejuaraan di Liga Perdana Inggeris. – AFP