KUALA LUMPUR – Rapid Rail memaklumkan tren transit aliran ringan (LRT) dari stesen Titiwangsa ke stesen Sentul Timur berkemungkinan terpaksa bergerak secara perlahan atau berhenti sementara semasa dalam perjalanan dari 16 hingga 30 November ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khairani Mohamed berkata, pemberhentian sementara di antara stesen atau pergerakan tren yang perlahan semasa waktu puncak itu disebabkan oleh kerja-kerja penggantian landasan bersilang di Stesen LRT Sentul Timur.
“Ia bag membolehkan kapten tren menukar posisi mereka di platfom Stesen LRT Sentul Timur kerana kawasan penukaran biasa dan penyimpanan tren akan ditutup sementara untuk kerja-kerja penggantian landasan bersilang.
“Justeru, kami menjangkakan kekerapan tren Laluan Ampang dijangka sedikit lewat semasa waktu puncak,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Sehubungan itu, Khairani memohon maaf kepada orang ramai terhadap kesulitan yang dijangka berlaku tersebut dan meminta mereka supaya bersabar jika mengalami situasi itu semasa menggunakan perkhidmatan LRT.
Beliau menjelaskan, landasan bersilang yang membolehkan tren untuk bertukar daripada satu platfom ke platfom yang lain perlu diganti memandangkan ia telah menghampiri penghujung hayatnya.
“Disamping faktor ekonomi, kami turut mengambil kira faktor keselamatan dan keselesaan dan kemudahan pelanggan dalam jangka masa panjang. Landasan bersilang yang baru dijangka mempunyai jangka hayat selama kira-kira 16 tahun,” katanya.