KUALA LUMPUR – Kumpulan popular sekitar tahun 1980-an iaitu Kembara bakal membuat kemunculan semula selepas hampir 30 tahun tidak tampil dengan sebarang album baharu mahupun persembahan.
Vokalis utamanya, Datuk M.Nasir berkata, mereka akan disatukan dalam Konsert Hati Emas Kembara yang akan diadakan selama tiga hari berturut-turut di Panggung Sari, Istana Budaya pada 21 hingga 23 November depan.
“Alhamdulillah impian untuk bersatu kembali dengan kesemua anggota asal Kembara terlaksana khas untuk peminat-peminat yang masih meminati dan merindui kami.
“Insya-Allah konsert itu nanti akan menjadi antara yang terbaik daripada kami dalam memberi peluang kepada peminat mengimbau kenangan selain membuka peluang kepada generasi baharu untuk mengenali siapa ‘Kembara’,” katanya kepada mStar Online.
M.Nasir ditemui pada sidang media konsert berkenaan di Istana Budaya di sini pada Khamis.
Selain M.Nasir, Kembara turut dianggotai oleh A.Ali, S.Sahlan (anggota asal) selain Cheman, Zoul, Md Shah dan Shahrom.
Kumpulan yang berasal daripada Singapura itu pernah merakamkan tujuh buah album dan Kembara Seniman Jalanan merupakan album terakhir mereka yang dikeluarkan pada tahun 1986.
Dalam pada itu, M.Nasir berkata, idea untuk mengadakan persembahan berkenaan timbul selepas kejayaan Konsert Ekspres Rakyat yang diadakan di Espelanade Singapura tahun lalu yang mendapat sambutan hebat peminat.
Daripada situ katanya, timbul keyakinan untuk mengadakan konsert serupa di Istana Budaya sebagai menghargai sokongan peminat.
“Konsert di Singapura hanya sebagai ‘test market’ dan melihat kejayaan acara itu kami yakin ia akan mendapat sambutan daripada peminat di sini,” jelasnya.
Sementara itu, M.Nasir berkata, Kembara juga sedang dalam proses merakamkan album terbaharu mereka khas buat peminat dan ia akan dilancarkan sebelum konsert berlangsung.
Jelasnya lagi, selain beberapa buah lagu baharu mereka turut merakamkan semula lagu-lagu hit seperti Impian Seorang Nelayan, Hati Emas, Gerhana dan Perhentian Pudu Raya.
“Album itu nanti masih mengekalkan konsep Kembara yang sarat dengan lirik puitis dan gabungan vokal harmoni tetapi dengan citarasa lebih segar sesuai dengan zaman kini.
“Insya-Allah ia bakal memuatkan 10 buah lagu dan akan dipasarkan sebelum konsert berlangsung,” katanya.
Konsert Hati Emas Kembara diterbitkan oleh Luncai Emas Sdn. Bhd. dengan kerjasama Celcom Axiata Berhad.
Selain konsert dan album baharu, Kembara juga akan melancarkan buku biografi tentang sejarah dan perjalanan kumpulan itu untuk rujukan generasi akan datang. – mStar Online