MACAM-macam betullah si Joan Rivers ini. Rupa-rupanya sebelum ni, Joan pernah memberitahu yang dia mengimpikan sebuah pengkebumian bersifat hiburan.
Permintaannya itu ditulis Joan dalam biopiknya, ‘I Hate Everyone … Starting with Me’. Petikan ini telah diguna pakai sebagai petikan yang dimuatkan dalam naskhah program pengkebumiannya.
Menghormati permintaannya, ahli keluarga, teman rapat dan penghibur terkemuka memberi penghormatan terakhir kepada hos Hollywood terkenal ini dalam satu upacara pengkebumian di kota New York.
Memetik laporan portal Awani, antara penghibur terkenal yang hadir termasuk pelakon dan pelawak Whoopi Goldberg dan bintang ‘Sex and The City’, Sarah Jessica Parker.
Majlis tersebut yang diadakan di Temple Emanu-El yang terletak di 5th Avenue.
Antara penghibur yang turut hadir termasuk pelawak Kathy Griffin, Donald Trump, Barbara Walters dan hos ‘Fashion Police’ Kelly Osbourne.
Pelakon Hugh Jackman hadir dan mendendangkan ‘Quiet Please, There’s a Lady on Stage’ yang dipetik dari pementasan muzikal Broadway, ‘The Boy From Oz’.
Majlis penghormatan terakhir dibanjiri seramai 1,500 peminat Rivers. Jalan yang sesak turut dipenuhi krew media termasuk ‘papparazzi’ terpaksa dikawal ketat oleh pihak berkuasa.
Majlis pengkebumian tersebut diselenggarakan sekumpulan pegawai publisiti yang turut mengawasi kehadiran pihak media.
Anak mendiang Rivers, Melissa dan cucu lelakinya Cooper turut hadir untuk memberikan penghormatan terakhir kepada penghibur itu.
Rivers meninggal dunia Jumaat lalu selepas beliau dilaporkan berhenti bernafas selepas menjalani prosedur yang melibatkan peti suaranya di sebuah klinik swasta di New York.
Antara petikan Rivers yang terkenal: “I want paparazzi and I want publicists making a scene! I want it to be Hollywood all the way.” :-MYNEWSHUB.CC
Oleh: SYA