KUALA LUMPUR – Malaysia akan menjadi penerima manfaat utama daripada Komuniti Ekonomi Asean (AEC) apabila ia mengambil alih pengerusi
Asean tahun depan, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar.
Beliau berkata, Malaysia akan menjadi pengerusi Asean pada masa AEC berkuatkuasa.
“Kita mungkin tidak mampu mencapai integrasi ekonomi sepenuhnya sekali gus, tetapi tetapi secara kolektifnya kita menjadi teguh dan Malaysia akan menjadi penerima manfaat utama AEC,” katanya dipetik sebagai berkata dalam laporan bertajuk ‘Malaysia-Gerbang Ke Asean’ yang diterbitkan PMC LTD yang berpangkalan di London.
Ia juga memetik Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, Amirsham A. Aziz sebagai berkata, Malaysia merancang menggunakan kedudukannya di tengah Asia Tenggara, ekonomi yang cergas dan persekitaran properniagaannya bagi meningkatkan lagi peranan sebagai gerbang pelaburan ke negara Asean.
“Kita tidak mempromosi Malasyia sebagai tempat pelaburan yang lebih baik kerana buruh murah, tetapi kita mempromosi negara ini sebagai lokasi di mana anda boleh memacu perniagaan anda melalui teknologi,” kata Amirsham.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri, Tan Sri Dr Mohd Shukor Mahfar berkata, integrasi ekonomi serantau akan mewujudkn asas baharu untuk pertumbuhan di rantau ini dan peluang pelaburan baharu untuk Malaysia.
“Malaysia menawarkan kadar cukai yang kompetitif untuk syarikat antarabangsa, terutama pengecualian cukai lima tahun dalam sektor yang diberi promosi khas atau kawasan geografi.
“Kita juga menawarkan prosedur dan karenah birokrasi yang lebih mudah serta sistem institusi yang kukuh dan boleh dipercayai,” katanya dipetik sebagai berkata dalam laporan berkenaan. – BERNAMA