PUTRAJAYA – Peminjam Skim Bazar Ramadan (SBR) masih mempunyai masa sehingga 30 Sept ini untuk menjelaskan pinjaman mereka, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek.
Katanya setakat ini, kutipan peringkat pertama pembayaran balik SBR yang sepatutnya berakhir 31 Ogos, agak lembap.
“Bagaimanapun, kita akan menggiatkan lagi usaha kutipan ini dan yakin mereka akan menunaikan janji untuk membayarnya. Mungkin juga mereka suka membuat pembayaran pada saat-saat akhir,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Perunding Penjaja dan Peniaga Kecil Kebangsaan di sini hari ini.
Kerajaan memperkenalkan SBR mulai tahun ini kepada penjaja dan peniaga kecil untuk berniaga sepanjang Ramadan lepas yang memberi manfaat kepada 11,589 peminjam dengan pembiayaan berjumlah RM30,802.
Ia merupakan pembiayaan mikro tanpa faedah, tanpa cagaran dengan had pembiayaan sehingga RM3,000 dan perlu dijelaskan sepenuhnya dalam tempoh dua bulan iaitu 50 peratus bayaran sebelum tamat bulan Syawal (31 Ogos) manakala bakinya sebulan selepas Syawal (30 Sept).
Katanya SBR akan terus diperhalusi pada masa akan datang supaya dapat memberi lebih banyak manfaat kepada penjaja dan peniaga kecil.
Mengenai mesyuarat hari ini, Hasan berkata ahli-ahli majlis, antaranya exco-exco kerajaan negeri yang memegang portfolio peniaga kecil dan keusahawanan serta wakil persatuan penjaja dan peniaga kecil menyambut baik segala bantuan dan faedah yang diberikan kerajaan.
Menurut Hasan, kementerian juga sedang meneliti Pelan Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil yang lebih komprehensif dengan mengambil kira semua aspek pembangunan sektor penjaja dan peniaga kecil seperti pembiayaan, latihan, jaringan keselamatan dan infrastruktur.
Pelan itu dijadual dilancarkan pada sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil pada 18 Nov ini, kata Hasan. – BERNAMA