KUALA LUMPUR – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) akan menganjurkan Pameran Perkhidmatan Malaysia (MSE) dan Showcase Malaysia 2014, di Yangon, Myanmar selama empat hari bermula 1 Okt depan.
Pengarah Bahagian Rentas Sempadan Matrade, Amran Yem, berkata MSE ketiga itu yang telah menarik 70 syarikat Malaysia, akan membantu mengukuhkan kehadiran Malaysia di pasaran Myanmar.
“Dua MSE sebelum ini di Yangon membuahkan hasil yang menggalakkan. Pada 2012, kami mencatat jualan sebanyak RM83.98 juta dan pada tahun lepas, RM102.6 juta. Pada tahun ini, kami menjangkakan jualan yang lebih tinggi, katanya pada taklimat media di sini Isnin.
Amran berkata acara pada tahun ini akan menumpukan kepada pembinaan dan berkaitan perkhidmatan; bahan-bahan binaan; pendidikan; francais; perkhidmatan perniagaan; minyak dan gas; penjagaan kesihatan; dan, teknologi komunikasi dan maklumat.
“Lebih 450 mesyuarat padanan perniagaan telah diatur dengan syarikat-syarikat Myanmar,” katanya.
Pelaburan Malaysia di Myanmar pada 2013 berjumlah RM50 juta, katanya.
Jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Myanmar dari Januari hingga Julai 2014 sebanyak RM2.03 bilion berbanding RM1.34 bilion bagi tempoh sama pada 2013.
Jumlah eksport Malaysia ke Myanmar bagi tujuh bulan pertama 2014 meningkat 72.4 peratus kepada RM1.67 bilion. – BERNAMA