NILAI – Abu mayat juruterbang pesawat MH17, mendiang Kapten Eugene Choo Jin Leong, 45, selamat disemadikan mengikut agama Buddha di Taman Peringatan Xiao En, dekat sini pada pukul 1.30 tengah hari ini.
Hadir pada upacara persemadian itu ialah isteri mendiang, Ivy Loi, 42, dan dua anak mereka, Melvic Choo, 13 dan Scott Choo, 10, serta lebih 100 anggota keluarga dan rakan mendiang.
Terdahulu, kenderaan yang membawa abu mayat mendiang dengan diiringi 50 konvoi motosikal berkuasa tinggi dari rumahnya di Sri Carcosa, Seremban 2, tiba di Taman Peringatan Xiao En dekat sini, pada pukul 12.30 tengah hari.
Abu mayat Choo tiba di kediamannya Selasa lepas.
Choo merupakan antara mangsa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17, yang membawa 298 penumpang dan anak kapal dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika ia ditembak jatuh di Donetsk, timur Ukraine pada 17 Julai lepas.
Abu mayat mendiang bersama-sama dengan sembilan jenazah mangsa yang lain selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Armsterdam pada pagi Selasa.
Sementara itu, jurucakap konvoi motosikal berkuasa tinggi itu, Kapten Azlan Aboo Bakar berkata penyertaan mereka sebagai memberi penghormatan terakhir untuk mendiang.
“Kami terdiri daripada beberapa kumpulan motosikal berkuasa tinggi. Penyertaan kami daripada berbilang kaum dan agama hari ini sebagai memberi penghormatan terakhir untuk mendiang memandangkan mendiang semasa hayatnya adalah anggota kumpulan kami,” katanya kepada pemberita.
Ivy pula menyifatkan suaminya seorang yang aktif dalam sukan permotoran memiliki lima buah motosikal dalam koleksi peribadinya. – BERNAMA