KUALA LUMPUR – Mayat pelakon tempatan, Subashini J. Retnam, suaminya warga Belanda Paul Goes dan anak mereka Kaela Maya Jay Goes yang terkorban dalam tragedi MH17 akan disimpan seketika di Pusat Peringatan Nirvana Sungai Besi di sini.
Ketua Pegawai Operasi Perhubungan Awam NV Group, Datuk Freddy Chan berkata, anggota keluarga mangsa belum memaklumkan kepada pihaknya untuk tindakan lanjut seperti upacara sembahyang dan pengebumian.
“Kami (pihak Nirvana) tidak pasti untuk berapa lama mayat mereka akan disimpan di sini dan kami masih menunggu maklumat lanjut daripada anggota keluarganya,” katanya kepada pemberita di sini.
Subashini pernah muncul dalam beberapa drama bersiri termasuk Spanar Jaya, Gadis 3 dan juga pernah terlibat dalam teater pentas seperti Fourplay dan Charley’s Auntie.
Ketika tragedi itu, Subashini, 38, bersama suami dan anaknya, yang berusia 21 bulan dalam perjalanan pulang dari Amsterdam menuju Kuala Lumpur selepas bertemu dengan keluarga mertuanya di sana.
MH17 yang membawa 298 penumpang termasuk anak kapal ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.
Sebanyak 43 warga Malaysia berada di dalam pesawat Boeing 777-200 itu dan setakat ini, 32 jenazah mangsa tragedi warga Malaysia telah dikenal pasti dengan 31 daripadanya telah dibawa pulang ke Malaysia. – BERNAMA