KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia kecewa dengan laporan terbaru media luar negara, Huffington Post UK berhubung insiden pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 hilang sejak 8 Mac lalu.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, pihak terperanjat dengan laporan tidak berasa itu kononnya penyiasat kemalangan udara New Zealand mendapati juruterbang MH370 bertindak membunuh diri.
“Saya berasa kecewa media yang mempunyai reputasi seperti Huffington Post UK boleh menyiarkan dakwaan yang tidak dibuktikan kononnya juruterbang bunuh diri menyebabkan kematian semua orang dalam pesawat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Anifah berkata, teori Ewan Wilson mengenai keadaan mental Kapten Zaharie Shah itu tidak mempunyai sebarang asas sebaliknya cuma berjaya mewujudkan lebih keresahan dan trauma ke atas ahli keluarga dan rakan-rakan si mati.
Sehubungan itu, beliau membidas media tersebut kerana sanggup menyiarkan laporan seperti itu pada waktu siasatan masih berjalan tanpa mempedulikan perasaan dan kesengsaraan mereka yang terlibat.