BEIRUT – Kumpulan militan Negara Islam (IS) semakin mara menghampiri bandar penduduk Kurdis terbesar di Syria semalam selepas berjaya menawan beberapa buah kampung berhampiran dan menyebabkan berpuluh-puluh ribu penduduk melarikan diri ke sempadan Turki, kata sebuah badan pemantau semalam.
Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria berkata, militan IS kini berada dalam lingkungan 10 kilometer dari sempadan bandar Kobane.
Tentera Kurdis yang mempertahankan bandar tersebut kehilangan 27 pejuang sejak militan IS melancarkan serangan pada Selasa lalu.
Seramai 37 militan IS pula terbunuh dalam serangan berkenaan, kata kumpulan pemerhati itu yang mendapat maklumat daripada pasukan perubatan dan aktivis.
“Majoriti militan IS yang terbunuh adalah anggota dari negara asing termasuk dari Rusia dan negara Arab,” kata pengarah kumpulan pemerhati berkenaan, Rami Abdel Rahman.
Menurutnya, orang awam yang berada berhampiran kawasan pertempuran mula menyeberangi sempadan Turki kelmarin bagi mendapatkan perlindungan.
Timbalan Perdana Menteri Turki, Numan Kurtulmus berkata, seramai 60,000 penduduk Kurdis dari Syria telah menyeberangi sempadan sejak pintu sempadan dibuka pada Jumaat lalu.
IS dilaporkan telah menawan lebih 60 kampung di sekeliling Kobane sejak lima hari lalu menyebabkan berpuluh-puluh ribu penduduk terpaksa melarikan diri. – AFP