Tuesday, November 26, 2024

Creating liberating content

Suami Isteri Didakwa Edar...

KANGAR - Sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret Kangar hari ini atas...

Belum Ada Keputusan Cukai...

KUALA KANGSAR - Belum ada sebarang keputusan untuk mengenakan cukai terhadap minuman bergula,...

Tony Fernandes Umum Undur...

PENGASAS bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia Group Bhd, Tan Sri Tony...

Ringgit Dibuka Rendah Berbanding...

KUALA LUMPUR - Ringgit dibuka rendah berbanding dolar US hari ini berikutan kekurangan...

Minda ‘A’ Perlu Diubah Kepada Minda Ilmu

KUALA LUMPUR – Masyarakat diminta mengubah persepsi bahawa proses pembelajaran bukan hanya untuk mendapatkan gred ‘A’ sebaliknya proses berterusan bagi menimba ilmu pengetahuan.

Pakar Perunding Psikiatri Universiti Malaya (UM) Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari berkata ukuran kejayaan pelajar tidak hanya bergantung kepada keputusan cemerlang sebaliknya mendapatkan ilmu kehidupan seperti kemahiran kepimpinan juga antara elemen penting yang perlu diutamakan.

“Ini merupakan satu cabaran besar pada masa ini memandangkan semua ‘mindset’ ibu bapa dan pelajar mengatakan pembelajaran hanya berorientasikan untuk mendapat gred ‘A’ sahaja dan dapat nombor satu dalam kelas.

“Ini seperti persaingan anak-anak dan ibu bapa sehinggakan ‘harapan atau jangkaan’ yang terlampau tinggi ini menarik perhatian pihak tertentu mengambil kesempatan membocorkan soalan peperiksaan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau mengulas isu kebocoran kertas peperiksaan Science 018, 028, 038 dan Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 yang memaksa ia diadakan pada tarikh baharu iaitu 30 Sept.

Dr Muhammad Muhsin berkata kejadian sedemikian dapat memberikan kesan kepada perkembangan sahsiah murid yang terlibat kerana dari segi aspek psikologi ia berkemungkinan boleh mentafsirkan ketidakjujuran dalam kalangan masyarakat.

“Murid-murid ini baru umur 12 tahun, masih kecil tidak tahu apa-apa. Apabila jadi macam ini membuatkan mereka pun keliru dengan keadaan kena ambil semula peperiksaan.

“Jadi di masa depan sekiranya keadaan ini tidak diperbetulkan sebaik mungkin kanak-kanak umur seperti ini akan lihat benda tidak baik dan ketikdakjujuran suatu perkara biasa sahaja yang tidak salah dari segi moral,” katanya.

Katanya dalam usaha menangani insiden soalan bocor, format penilaian UPSR kini yang berorientasikan kepada peperiksaan akhir mungkin perlu diubah kepada penilaian formatif atau penilaian secara berterusan.

Beliau menjelaskan dengan penilaian formatif itu, kemampuan dan daya intelektual pelajar boleh diuji menerusi 70 peratus kemahiran termasuk kokurikulum dan 30 peratus lagi peperiksaan akhir.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Lok Yim Pheng berkata guru dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang soalan ramalan menerusi laman sosial kerana ia mudah disalahtafsirkan.


“Dalam soal ini kita tidak salahkan guru sebab tidak tahu lagi siapa yang bertanggungjawab dalam hal kebocoran soalan peperiksaan ini cuma pihak kita nasihat guru-guru jangan gemar sangat sebarkan soalan ramalan.

“Dengan kemajuan ICT (Teknologi Maklumat dan Komunikasi) kini semuanya di hujung jari dan macam-macam boleh berlaku,” katanya.

Presiden Persatuan Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (Page) Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata insiden itu menimbulkan pelbagai masalah kepada ibu bapa yang mempunyai anak menduduki peperiksaan tersebut.

“Ia amat mengganggu emosi anak-anak tambahan selepas selesainya UPSR ini sekolah akan bercuti selama seminggu, sudah tentu sukar untuk mereka fokus balik kepada pembelajaran,” katanya.

Beliau berkata jika masalah berkenaan tidak dipandang serius ia akan mengakibatkan pelajar tidak berdikari dalam pembelajaran mereka kerana hanya bergantung kepada menghafal jawapan soalan yang sudah bocor.

Sementara itu, ibu kepada seorang murid yang menduduki peperiksaan UPSR di kawasan Serdang, Intan Rosazrina Mohd Nasir berkata masalah itu meluluhkan hati anaknya yang sudah membuat persediaan dan bersemangat untuk menduduki peperiksaan itu.

“Bagi saya, perlakuan ini (membocorkan soalan) tidak membantu murid itu untuk cemerlang di kemudian hari,” katanya.

Arese Nesi Rawe Shanggar, 12, murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di daerah Klang pula berkata sukar untuk menerima kenyataan perlu menduduki semula peperiksaan.

Katanya dia akan mengulang kaji semula subjek yang akan diduduki nanti. – BERNAMA

TINGGLKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kategori