KOTA KINABALU – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) akan memperluas program Jejak Inovasi di seluruh Sabah bagi menyemarakkan dan membudayakan inovasi dan kreativiti dalam kalangan rakyat.
Menterinya Datuk Dr Ewon Ebin berkata program Kreativiti dan Science4U serta Jejak Inovasi peringkat negeri dilancarkan di Sandakan baru-baru ini.
“Pada tahun 2014 sahaja, Mosti memperuntukkan RM1 juta untuk membiayai program-program pembudayaan berteraskan inovasi dan kreativiti,” katanya ketika berucap pada majlis mesra menteri bersama media Sabah di sini, malam tadi.
Ewon berkata program itu bermanfaat kepada pelbagai golongan seperti pelajar, belia, kanak-kanak, wanita, pertubuhan bukan kerajaan dan anggota masyarakat sama ada di bandar atau kawasan pedalaman.
Beliau berkata pihak kementerian akan berusaha meningkatkan kesedaran dan minat masyarakat terhadap sains, teknologi dan inovasi selain menjalinkan kerjasama strategik dengan pelbagai agensi seperti institut penyelidikan, universiti dan Jabatan Pendidikan.
Menurutnya, melalui program Dekad Inovasi, Mosti menyusun pelbagai program tahunan seperti Karnival Kreativiti dan Science 4U, Jejak Inovasi, Program Kimia ke Desa dan Jejak Ikon Saintis. – BERNAMA