KUALA LUMPUR – Seorang Ahli Parlimen DAP menyelar parti PAS kerana dilihat seolah-olah menyokong perjuangan bekas Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Kedah, Allahyarham Mohd. Lotfi Ariffin di Syria.
Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng berkata, beberapa pemimpin PAS dilihat seakan-akan setuju dengan perjuangan militan Mohd. Lotfi, 46, hingga menimbulkan kekeliruan tentang pendirian parti itu tentang aktiviti militan dan keganasan.
“PAS harus konsisten dengan pendiriannya terhadap keganasan dan ia mesti menegaskan kembali pendiriannya itu susulan kenyataan beberapa pemimpin PAS yang kelihatan ‘mengkagumi’ jalan yang dipilih oleh Mohd. Lotfi yang dilapor syahid di Syria.
“Jalan yang dipilih oleh Mohd Lotfi adalah haknya. Namun kita tidak seharusnya menyokong keganasan atas alasan apa sekali pun. Jalan ke hadapan adalah dengan demokrasi dan juga perjuangan demi keadilan serta kebebasan tanpa penumpahan darah,†katanya dalam satu kenyataan.
Justeru, Lip Eng berkata, PAS mesti berhati-hati dalam memberikan sokongan kepada mana-mana kumpulan militan mahupun anggota kumpulan militan.
Media kelmarin melaporkan pemimpin pejuang rakyat Malaysia di Syria, Mohd. Lotfi meninggal dunia di Hospital Hatay, Turki selepas lima hari berada dalam keadaan koma akibat terkena serangan bom pesawat dalam satu pertempuran dengan pihak tentera negara itu pada 9 September lalu.
Mohd. Lotfi yang juga dikenali sebagai Ustaz Lotfi dan berasal dari Kuala Ketil, Kedah itu meninggal dunia kira-kira pukul 1.40 pagi.