MURAH sungguh rezeki insan bernama Dafi Ismail Sabri ini.
Tidak lama selepas dilantik menjadi duta korporat untuk produk jenama makanan kesihatan dan penjagaan kulit untuk tempoh 11 tahun, dia dipilih pula oleh syarikat telekomunikasi U Mobile sebagai duta mereka.
Memetik laporan Berita Harian, Dafi yang juga pemilik syarikat Laugh Out Loud (LOL) melahirkan rasa syukurnya atas peluang itu.
Lebih menggembirakan, pengumuman itu dibuat serentak dengan pelancaran album keduanya, #D4F1.
Sementara itu, Ketua Pemasaran Komunikasi dan Jenama U Mobile, Jeanette Lee berkata, personaliti dan pengaruh Dafi bertepatan dengan sasaran mereka untuk menarik perhatian golongan remaja dan yang baru memulakan pekerjaan.
“Dafi mewakili semangat U Mobile yakni kombinasi kualiti aspirasi, segar dan inspirasi. Kami optimis dengan pelantikan beliau dalam menarik kelompok pengguna baharu,” ujarnya.
Kami kagum sebenarnya dengan usaha Dafi untuk memajukan dirinya agar tidak terus tenggelam seperti segelintir artis program realiti yang lain.
Mungkin ada yang berkata, kejayaannya adalah atas dasar pengaruh bapanya yang juga seorang menteri.
Namun bagi kami, sekukuh mana pun latar belakang seseorang, dia tidak akan berjaya jika hanya duduk goyang kaki saja, betul tak?
Oleh: ELZA / MYNEWSHUB.CC