MELAKA – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) merampas lima ekor burung yang disimpan tanpa permit khas dan lesen di sebuah rumah di Taman Merak Mas Bukit Katil di sini, semalam.
Pengarah Perhilitan Melaka Noorzakiahanum Mohd Noh berkata, haiwan yang dirampas ialah seekor burung dipercayai spesies Murai Batu, seekor burung spesies African Grey Parrot dan tiga ekor burung Kelicap Kunyit.
Beliau berkata operasi pada kira-kira 5 petang itu dilakukan sepasukan unit penguatkuasa berdasarkan risikan dan maklumat orang ramai.
“Semua burung tersebut dijumpai di kawasan halaman rumah pemilik berusia 54 tahun dan pemeriksaan dilakukan dengan kebenarannya,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Noorzakiahanum berkata ketika pemeriksaan lelaki tersebut gagal mengemukakan dokumen sah bagi setiap haiwan yang disimpannya dan siasatan sedang dilakukan bagi mengenal pasti sama ada haiwan itu dijadikan peliharaan atau untuk dijual.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 60 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – BERNAMA