Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan pemimpin di kedudukan ke-6 paling ramai pengikut (followers) di Twitter di Asia, hasil analisis oleh Matthias Lüfkens menggunakan aplikasi Twitplomacy pada Jun lepas.
Di rantau sama juga, di kedudukan pertama ialah bekas Presiden Indonesia yang bakal meletakkan jawatan Oktober depan iaitu Susilo Bambang Yudhoyono dengan lebih 5 juta pengikut diikuti Perdana Menteri India, Narenda Mondi.
Tempat ketiga ialah Permaisuri Jordan Queen Rania Al Abdullah (@QueenRania), keempat Naib Presiden Emiriyah Arab Bersatu (UAE) Sheikh Mohamed bin Rashid Al Maktoum (@HHShkMohd) dan kedudukan kelima ialah Presiden Filipina Benigno Aquino.
Di dunia, Najib yang tweet dengan akaun @NajibRazak berkedudukan ke-18 paling ramai followers di laman sosial itu dengan lebih dua juta iaitu 2,027,207.
Presiden Amerika Syarikat Barrack Obama menduduki tempat pertama paling banyak followers di dunia dengan lebih 43 juta iaitu 43,711,388.
Menurut data dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), pengguna Twitter di Malaysia berjumlah hampir 2 juta orang.
Data itu bermakna, hampir keseluruhan pengguna Twitter di negara ini sudah pun menjadi followers twitter Perdana Menteri.
Dari segi kadar peratusan pengguna twitter berbanding populasi Malaysia yang sejumlah 29.6 juta orang, ianya masih rendah iaitu pada kadar 6.7% pengguna twitter berbanding rakyat Malaysia.
Selain Twitter, Najib juga dikategorikan sebagai Pemimpin Dunia Yang Suka ‘Berselfie’ oleh kajian berkenaan yang berpusat di Geneva, Switzerland.
“Perdana Menteri Malaysia Najib, ialah antara segelintir pemimpin dunia yang suka merakamkan gambar selfie dirinya bersama dengan rakan sejawatan dari negara lain antaranya Obama, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong, Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan dan Susilo,” menurut Twitplomacy dalam analisis itu.
Twiplomacy menjalankan kajian tentang pemimpin dunia bersama dengan agensi perhubungan awam dan komunikasi Burson-Marsteller. Kajian ini telah mengenalpasi 643 akaun twitter pemimpin kerajaan dan sesebuah negara dari 161 buah negara.
Menurut kajian itu lagi, keseluruhan tweet yang dihasilkan oleh semua pemimpin dunia adalah sejumlah 1.9 juta tweet dan kombinasi semua followers pemimpin dunia adalah sejumlah 157 juta followers. – MYNEWSHUB
Oleh : IBNU K