KOTA KINABALU – Badan bukan kerajaan (NGO) di Sabah digesa mewujudkan Rumah Perlindungan Kanak-kanak bagi menempatkan golongan itu yang sering menjadi mangsa pengabaian, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun.
Beliau berkata pada masa ini, Sabah belum mempunyai rumah perlindungan bagi membantu kanak-kanak yang diabaikan mahupun yang dibuang keluarga.
“Di Semenanjung, kita memang sudah ada rumah perlindungan yang diwujudkan oleh NGO dan kita berharap di sini juga akan ada,” katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama media, di sini malam tadi.
Beliau berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat juga akan memberi kerjasama kepada hospital swasta yang ingin menyediakan kemudahan bagi kanak-kanak yang terabai dengan membuat permohonan dan mengikut prosedur yang betul.
Azizah berkata masalah pembuangan bayi tidak akan berlaku sekiranya setiap pasangan khususnya lelaki memainkan peranan penting dan bertanggungjawab.
“Di bawah kementerian, pelbagai program kesedaran telah dijalankan di peringkat sekolah dan dari masa ke masa banyak program kekeluargaan dilaksanakan supaya kita dapat membendung gejala ini,” katanya.
Katanya, kementerian kini menjalankan kajian keberkesanan program kekeluargaan selain mengenal pasti sebarang kekurangan untuk penambahbaikan pada masa depan.
Terdahulu, Azizah yang juga anggota Parlimen Beaufort turut memuji pengamal media di Sabah atas peranan yang dimainkan dalam membantu menyebarkan berita selain merubah pemikiran rakyat yang lebih baik.
“Bagi saya pemimpin, rakyat dan media berpisah tiada,” katanya. – BERNAMA