KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP] mengumumkan pelantikan Nik Amlizan Mohamed sebagai Ketua Pegawai Pelaburan KWAP yang baharu berkuatkuasa serta merta.
KWAP dalam satu kenyataan media memberitahu, Nik Amlizan yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Claremont McKenna College, Amerika Syarikat menggantikan Ahmad Norhisham Hassan yang meninggal dunia pada bulan Februari.
“ Nik Amlizan mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam industri pengurusan dana dengan sebahagian besar dihabiskan di pasaran ekuiti.
“Sebelum menyertai KWAP, beliau merupakan Pengurus Besar / Ketua Ekuiti (Etika / Syariah) di RHB Asset Management Sdn Bhd dan Pengurus Portfolio Kanan / Ketua Penyelidikan Pelaburan di Mayban Investment Berhad,†kata kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu, Nik Amlizan menyertai KWAP pada tahun 2007 sebagai Ketua Jabatan Ekuiti dan kemudian menjadi Pengarah Kanan pada Februari 2014.
Tanggungjawab beliau termasuk merangka strategi pelaburan dana dalam semua kelas aset termasuk Ekuiti, Pendapatan Tetap, Hartanah, Ekuiti Persendirian dan Infrastruktur.
“Beliau kini ahli Lembaga Pengarah Prima Ekuiti (UK) Limited, sebuah anak syarikat milik penuh KWAP dan Ahli Jawatankuasa Pelaburan Valuecap Sdn Bhd, i-VCAP Management Sdn Bhd dan Metropolitan Uxbridge Limited di United Kingdom,†kata kenyataan itu. – mynewshub.cc