KUALA LUMPUR – Sebanyak 15 orang terkuat di dunia akan bersaing untuk merebut gelaran juara dunia pada Grand Final Liga Juara Dunia Strongman (SCL) di Dataran Merdeka, November ini.
Siri SCL 2014 diadakan di 15 buah bandar raya di seluruh dunia sepanjang tahun sebelum kemuncak kejohanan dunia itu kembali semula ke Kuala Lumpur buat kali kedua pada 14 dan 15 Nov ini.
Acara bertaraf dunia itu dianjurkan bersama oleh Majlis SCL dan SCL Malaysia dengan disokong oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata acara itu dapat melonjakkan nama dan imej Kuala Lumpur, sekali gus meletakkan nama negara di persada antarabangsa.
Dalam sidang media di sini hari ini, beliau berkata acara tersebut boleh membantu mempromosikan sektor pelancongan Kuala Lumpur yang menyasarkan kedatangan 10 juta pelawat antarabangsa pada tahun ini.
Beliau berkata selain barisan peserta antarabangsa, dua wakil Asia ialah Zarol Alfiyan dari Malaysia dan Ahmad Taufiq dari Singapura.
Menurut kenyataan penganjur, juara bertahan, Krzysztof Radzikowski dari Poland, yang kini menduduki ranking keempat musim ini, dan pendahulu musim, Martin Wildauer dari Austria akan turut memburu gelaran dunia tahun ini.
Selain itu, para peminat siri TV ‘Games of Thrones’, akan berpeluang melihat kemunculan pelakon Iceland, Hafthor Julius ‘Thor’ Bjornsson, yang memegang watak Gregor Clegane dalam pusingan Grand Final.
Pada pusingan Grand Final, peserta akan bertanding untuk lapan acara yang direka untuk menguji kekuatan mereka.
Antaranya ialah menarik trak dengan abah-abah dan tali, Farmer’s Walk (memikul beban seberat 300kg), mengangkat tayar seberat 400kg, mengangkat kereta dan mengangkat balak seberat 170kg ke atas.
SENARAI PESERTA MENGIKUT RANKING SEMASA:
——————————————————————————
1. Martin Wikldauer (Austria), 2. Ervin Katona (Serbia), 3. Lauri Nami (Estonia), 4. Krzysztof Radzikowski (Poland), 5. Dainis Zageris (Latvia), 6. Marius Lalas (Lithuania), 7. Alex Moonen (Holland), 8. Matjaz Belsak (Slovenia). 9. JF Caron (Kanada), 10. Ole Martin Hansen (Norway), 11. Mike Burke (Amerika Syarikat), 12. Alexander Lysenko (Rusia), 13. Zarol Alfiyan (Malaysia), 14. Hafthor Julius ‘Thor’ Bjornsson (Iceland), 15. Ahmad Taufiq (Singapura). – BERNAMA