TUMPAT – Selain isu tuntutan royalti petroleum, PAS kini meminta pengundi kawasan itu menyokongnya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor sebagai isyarat membantah pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Bioteknologi dan Teknologi Hijau negeri Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata rakyat perlu membantah pelaksanaan GST yang didakwa membebankan orang miskin.
Beliau berkata jika GST dilaksana, rakyat akan menanggung beban cukai mulai April 2015 dan pengundi di Pengkalan Kubor harus memprotes GST dengan mengundi calon parti itu pada PRK berkenaan.
“GST tidak boleh dikenakan dalam keadaan rakyat masih lagi miskin dan berharap GST tidak akan berjalan, dan harapan terletak di tangan rakyat Pengkalan kubor,” katanya pada majlis pengagihan baja organik dan benih di Pengkalan Kubor hari ini.
PRK 25 Sept ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mat Razi Mat Ail, calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon BEBAS Izat Bukhary Ismail Bukhary.
PRK itu diadakan berikutan kematian ADUN Pengkalan Kubor Datuk Noor Zahidi Omar, 57, daripada BN pada 20 Ogos lepas.
Pada pilihan raya umum ke-13, Noor Zahidi mengalahkan Saharun Ibrahim daripada PKR dan Izat Bukhary (BEBAS) dengan majoriti 1,736 undi. – BERNAMA