KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi amaran akan mengambil tindakan ke atas pihak yang terlibat dalam kempen Sabah dan Sarawak keluar Malaysia.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, perbuatan tersebut mencabar Perlembagaan Negara, menggugat ketenteraman dan boleh menghancurkan perpaduan negara.
“Sejak akhir-akhir ini wujud kecenderungan sesetengah pihak mencetuskan pelbagai provokasi. Mereka secara terbuka berkempen dan menyokong agenda untuk membawa Sabah dan Sarawak keluar daripada Malaysia dengan cara memansuhkan Perjanjian Malaysia 1963 yang didakwa meminggirkan hak-hak Sabah dan Sarawak.
“Golongan ini turut menggugut untuk mengheret kerajaan Britain ke dalam kancah pertikaian ini kerana didakwa bertanggungjawab mengikat Sabah dan Sarawak dalam perjanjian itu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Justeru, Khalid menasihati pihak terlibat supaya tidak melakukan provokasi dan hasutan yang boleh menyebabkan berlaku sebarang tindakan di luar batas undang-undang dan Perlembagaan Negara.
Menurut beliau, sebarang pertikaian dan ketidakpuas hati perlu dibuat mengikut lunas undang-undang demi menjaga kepentingan semua pihak.
“PDRM tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang bertindak dalam apa jua cara yang boleh mengancam keselamatan dan kedaulatan negara,” tegasnya. – mynewshub.cc