MELAKA – Sebuah premis nombor ekor di Jalan Bendahara di sini kerugian kira-kira RM20,000 selepas dipecah masuk perompak hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Supt Razali Bakar berkata premis terbabit dipercayai dipecah masuk lebih daripada seorang penjenayah sebelum mereka bertindak menebuk peti besi yang menyimpan wang tunai dalam kejadian antara 5 hingga 6 pagi.
“Laporan berhubung kejadian tersebut dibuat pemilik premis, seorang wanita berusia 68 tahun kira-kira 11.30 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.
Beliau berkata polis turut menerima laporan berhubung satu lagi kejadian pecah masuk melibatkan premis pengurup wang berlesen yang terletak bersebelahan premis nombor ekor tersebut.
Bagaimanapun, katanya, jumlah kerugian masih dalam siasatan. – BERNAMA