KUALA LUMPUR – Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) Malaysia menggesa pihak polis menyiasat dan mengambil tindakan ke atas beberapa individu dipercayai pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia kerana menyerang seorang jurukamera merangkap wartawan sebuah media semalam.
Pengarah CIJ, Sonia Randhawa berkata, tindakan individu tersebut menyerang jurukamera yang membuat liputan lima pegawai kanan jabatan didakwa di Mahkamah Sesyen atas kesalahan menerima rasuah tidak boleh diterima.
“Jurugambar Lutin Ahmad berhasrat merakamkan gambar tertuduh tetapi diserang. Pertuduhan itu melibatkan kepentingan awam dan menjadi tanggungjawab wartawan untuk memaklumkan kepada orang ramai mengenai prosesnya.
“CIJ meminta polis menyiasat dan mengambil tindakan ke atas penyerang itu. Serangan itu bukan cuma ke atas seorang petugas media tetapi ke atas keseluruhan kebebasan media untuk melaksanakan tugas mereka,” tegasnya melalui satu kenyataan media hari ini.
Lutin dikasari oleh lelaki yang turut mengiringi lima pegawai kanan kastam yang didakwa di Mahkamah Sesyen pada 22 September lalu atas kesalahan menerima rasuah.
Kejadian pada pukul 12 tengah hari itu berlaku ketika jurugambar merakamkan gambar lima pegawai kanan kastam yang dibawa keluar dari bilik perbicaraan oleh beberapa anggota polis mahkamah. – mynewshub.cc