SEORANG pelajar Belanda, Zilla Van De Born berjaya meyakinkan keluarga dan rakan-rakannya menggunakan Facebook kononnya dia sedang menghabiskan percutian lima minggu mengelilingi Asia. Hakikatnya, Zilla memalsukan percutiannya itu hanya dengan Photoshop dan beberapa helah fotografi.
Hanya seorang saja yang megetahui tentang ‘percutiannya’ itu. Siapa lagi kalau bukan teman lelakinya yang turut sama membantu menjayakan ‘projek percutiannya’.
Memetik portal Gapyear.com, Zilla telah mengambil cuti 42 hari untuk ‘percutian’ yang hebat di Asia tanpa meninggalkan kediamannya di Amsterdam.
Dia kemudian memuatnaik beberapa gambar percutiannya termasuklah menikmati makanan eksotik, melawat pantai yang indah serta mencari ketenangan di sebuah kuil Buddha.
Lebih meyakinkan, Zilla menghias semula biliknya agar kelihatan seperti sebuah bilik hotel berkonsepkan Oriental. Dia turut menghubungi keluarganya menggunakan televideo Skype.
Kesemua rakan-rakannya dan ahli keluarga percaya dan tidak pernah mengungkit tentang percutiannya.
Tanpa mereka sedari, seluruh percutian Zilla sebenarnya adalah bagi menyiapkan projek universiti untuk membuktikan bagaimana manusia hanya mencipta ilusi mereka di dunia sosial.
Bercakap kepada media di rumahnya, beliau berkata:
“Projek ini dijalankan bagi menunjukkan kepada semua orang bahawa kita boleh menapis dan memanupulasikan apa saja di media sosial. Kita mencipta dunia atas talian sedangkan realitinya kita tidak bertemu.  Matlamat saya adalah untuk membuktikan bagaimana mudahnya untuk memutarbelitkan kenyataan.
“Semua orang tahu bahawa gambar-gambar model dimanipulasi. Tetapi kita sering terlepas pandang hakikatnya dalam kehidupan realiti, kita sering membiarkan diri dimanupulasi,” katanya. :-MYNEWSHUB.CC
Oleh: SYA