KUALA LUMPUR – Ketika rakyat Malaysia menyambut ulang tahun Hari Malaysia ke-51 hari ini, kerajaan pimpinan Barisan Nasional (yang dahulunya dikenali Parti Perikatan) nyata terus kekal utuh.
Walaupun terdapat 13 parti komponen politik dan 12 lagi parti ahli bergabung, kepimpinan tertinggi BN berjaya memastikan kesemuanya kekal bersatu padu walaupun mempunyai latar belakang dan corak kepimpinan yang berbeza.
Veteran BN Datuk Seri S. Samy Vellu percaya BN sebagai parti yang paling berpengalaman di negara ini akan terus diberi mandat oleh rakyat untuk memerintah kerana kestabilan dan keutuhan parti komponen yang membentuk BN.
“BN adalah parti yang lebih berpengalaman dan telah mendapatkan kebebasan untuk negara ini, selain itu semua pembangunan yang dicapai selama ini juga adalah melalui BN.
“Saya percaya BN akan terus menjadi parti yang memerintah negara ini kerana ada komponen parti daripada setiap kaum, bukan semata-mata untuk kepentingan politik sahaja tetapi untuk membangunkan negara dan memberikan kehidupan yang lebih baik kepada rakyat semua,” kata bekas presiden MIC itu.
Samy Vellu yang juga Duta Khas (infrastruktur) Malaysia ke India dan Asia Selatan berkata sebaliknya parti pembangkang tidak menunjukkan kesepakatan walaupun berpeluang berbuat demikian sejak sekian lama.
“Jika mereka mahu, mereka boleh jadi satu kumpulan sejak lama dahulu tetapi mereka tidak menunjukkannya kepada rakyat, jadi gabungan (pakatan pembangkang) ini untuk kepentingan (masing-masing) sahaja,” katanya yang juga bekas menteri kerja raya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Veteran Umno Malaysia Datuk Mustapha Yaakub berkata, apa yang membezakan antara BN dengan parti-parti lain ialah keikhlasan dalam mengurus tadbir negara dan juga memastikan kebajikan masyarakat terbela tanpa mengira latar belakang politik, agama dan bangsa.
“Bezanya, BN lebih menitikberatkan konsep ‘muafakat, manakala pembangkang hanya lebih ‘berpakat’ untuk tujuan yang satu, iaitu menumbangkan kerajaan sedia ada.
“Dan harus diingat, BN boleh dikatakan sebagai sebuah institusi, lengkap dengan peraturan dan perlembagaan yang didokong sejak berzaman. Pakatan pembangkang sampai sekarang masih belum berdaftar,” katanya lagi.
Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyebut bahawa pembangkang gagal mencapai dan meniru persefahaman politik serta ikatan kekeluargaan yang terjalin dalam BN.
Jika diungkap sejarah politik Malaysia, pembangkang cuba melakukan pelbagai cara bagi menjadi alternatif kepada kerajaan pimpinan BN, termasuklah bergabung menjadi satu entiti, namun ia tetap gagal bertahan.
Pakatan pembangkang sebelum ini seperti Gagasan Rakyat, Angkatan Perpaduan Ummah dan Barisan Alternatif dilihat oleh pemerhati politik gagal menjadi satu entiti yang boleh bertahan lama, kekal dan utuh seperti BN.
Mengulas lanjut, Mustapha berkata Pakatan Rakyat sekarang pula dibelenggu dengan pendapat saling bercanggah antara satu sama lain termasuklah isu Hudud dan krisis Menteri Besar Selangor.
Namun, katanya, BN tidak boleh sesekali alpa dan melihat krisis yang sedang berlaku ini sebagai alasan untuk berada di zon selesa, sebaliknya harus terus fokus kepada usaha memenangi dan mengekalkan sokongan rakyat.
Sementara itu, bekas naib presiden MCA Datuk Yap Pian Hon berkata pakatan pembangkang tidak mungkin akan sehaluan dan mencapai kesefahaman kerana ideologi parti masing-masing yang berlainan.
“BN mengamalkan sikap tolak ansur untuk mencapai sesuatu matlamat, tetapi berbeza dengan pakatan pembangkang dan terbaru kemelut jawatan menteri besar Selangor yang tidak berkesudahan membuktikan mereka tidak sehaluan untuk menyelesaikan isu itu,” katanya. – BERNAMA