Kalau atas tiket mempunyai hak kebebasan terhadap tubuh badannya maka manusia boleh buat apa sahaja, maka makin ramailah yang tak faham cara nak hormat orang lain di dunia ini.
Sepatutnya semua orang maklum, isu agama terlalu sensitif maka jika mahu berbuat sesuatu yang menyentuh agama orang lain fikirlah semasak-masaknya.
Itulah sebab mengapa pemuda yang memilih kalimah suci umat Islam untuk dicacah pada tubuh badannya ini boleh mencetuskan perasaan marah padanya.
Gambar pemuda yang tersenyum kambing sambil menunjukkan tatu pada dirinya tertulis kalimah Bismillah, Allah dan lain-lain di dahi, leher dan tangan kini berlegar di laman sosial.
Sesetengah agama mungkin tak kisah simbol agama mereka diletakkan di mana sekali pun namun Islam bersandarkan kesucian dan akhlak.
Bayangkan tingginya kemuliaan kalimah al-Quran hingga penganut Islam mesti berada dalam keadaan suci untuk memegangnya, inikan pula kalau dah dicacah serata badan begini. Tentu kalimah ALLAH akan diusung ke mana-mana dalam keadaan tak suci dan memasuki kawasan kotor sewenangnya.
Islam, bukan agama yang boleh dibuat main-main. Apakah perlu kompromi apabila ada manusia jahil memperolok-olokkan agama seperti ini?
Bukan bermakna perlu ada keganasan tetapi perbuatan melampau pemuda ini jika dilakukan secara jahil harus disedarkan dan dibaiki. – MYNEWSHUB.CC