KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melahirkan kebimbangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP akan menolak sebarang keputusan yang dibuat oleh PAS pada masa depan.
Ketua DPPM, Suhaizan Kayat berkata, perkara itu tidak mustahil berlaku memandangkan PAS dengan tegas tidak menerima cadangan PKR dan DAP berhubung isu jawatan Menteri Selangor kali ini.
“Jika krisis Menteri Besar Selangor menyaksikan PAS tidak dapat menerima cadangan PKR dan DAP, tidak mustahil di masa mendatang ada parti tunggal yang tak bersetuju dengan keputusan yang dicapai antara dua parti lainnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jesteru, Suhaizan berkata, jalan perdamaian berhubung isu calon Menteri Besar Selangor masih terbentang luas sekiranya semua pihak dalam pakatan pembangkang kembali ke meja rundingan.
Beliau turut menggesa PAS, PKR dan DAP merangka kembali dasar persefahaman yang benar-benar utuh dalam pakatan pembangkan.
“Garis sempadan antara parti-parti komponen pakatan perlu dilakar dengan jelas dan jangan dilanggar,” katanya. – mynewshub.cc