KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda PAS (DPP) Johor meminta Syarikat Air Johor (SAJ) mempertimbangkan semula rancangan untuk menaikkan tarif air antara 10 hingga 12 peratus bermula tahun depan.
Ketuanya, Mohd. Faizul Mohd. Salleh berkata, kenaikan tarif air itu pada waktu rakyat sedang bergelut dengan masalah inflasi akan memberi kesan kepada rakyat Johor terutama yang berpendapatan rendah.
“DPP Johor mengingatkan bahawa kesan kenaikan tarif air ini pasti memberi kesan kepada rakyat berpendapatan rendah dan mempunyai keluarga besar.
“Sekalipun sekitar 10 hingga 12 peratus, namun bagi sebuah keluarga berpendapatan rendah ia pasti memberi impak terhadap perbelanjaan keluarga,” dakwanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Mohd. Faizul turut mempersoalkan kenaikan tarif air itu ada kena mengena dengan desas desus pengurusan air di Johor akan diambil alih oleh sebuah syarikat lain.
“Adakah ia bagi mengelak persepsi bahawa syarikat yang mengambil alih menaikkan tarif air maka kenaikan dibuat sebelum itu (pengambilalihan),” soal beliau.
Media baru-baru ini melaporkan kerajaan Johor akan membuat keputusan berhubung cadangan menaikkan kadar tarif air di negeri ini selewat-lewatnya awal tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ir Hasni Mohammad dipetik berkata, cadangan SAJ untuk menaikkan kadar itu sebanyak 20 peratus dibuat sejak setahun yang lalu namun kerajaan negeri melihat kenaikan itu sebagai tinggi berbanding kos kehidupan di Johor yang semakin meningkat.
“Kita melihat kadar kenaikan antara 10 hingga 12 peratus mungkin lebih sesuai tetapi kita juga faham dengan masalah yang dihadapi oleh SAJ,†kata Hasni.