Sudah agak lama kisah van putih menculik kanak-kanak tersebar dari bibir ke bibir lalu melarat di media sosial.
Sudah tentu, kisah begini menakutkan ibu bapa namun pihak polis telah mengeluarkan kenyataan bahawa berita ini palsu dan semua pihak diminta berhenti memperkatakan tentangnya.
Tup-tup 6 September lalu, sebuah van putih dinaiki penjenayah benar-benar cuba menculik kanak-kanak di Cahaya Masai, Johor namun berjaya dipatahkan orang ramai.
Kejadian ini diketahui ramai selepas ia dimuat naik di laman sosial oleh orang awam yang menjadi saksi.
Penjenayah yang berjaya ditangkap dibelasah orang ramai malah kad pengenalannya turut diperiksa sementara menanti pihak polis tiba.
Namun di sebalik kesyukuran kerana selesainya ‘misteri van putih’ yang sekian lama menakutkan ibu bapa, terselit komen orang ramai yang harus diketahui PDRM.
Tak dapat dinafikan PDRM telah bertindak cemerlang dalam menyelesaikan banyak kes namun dalam kes van putih ini orang ramai agak terkilan dengan respon diberikan.
Berdasarkan komen, seorang waris mangsa memberitahu pihak polis telah dihubungi ketika penjenayah masih berada sekitar Cahaya Masai tempoh hari tetapi jawapan diterima amat tidak munasabah iaitu datang ke balai buat report dahulu!
Secara logiknya sudah tentulah penculik itu sempat melarikan diri dahulu maka sebab itulah mereka bertindak sendiri menahan penjenayah terbabit.
Begitu pun, masih ada saki baki penjenayah berjaya melarikan diri.
Pada kami anggota polis di balai yang menjadi bahan rungutan orang ramai ini tidak wajar ambil hati tetapi seharusnya terima dari sudut positif untuk memantapkan lagi perkhidmatan.
Sudah tentu kita tidak mahu orang awam hilang keyakinan terhadap kredibiliti pihak berkuasa dalam memastikan keselamatan negara khususnya masyarakat setempat hingga semakin ramai bertindak sendiri.
Apa pun mungkin dengan menangkap seberapa segera rakan penjenayah yang berjaya melarikan diri maka khilaf dilakukan PDRM sebelum ini dengan menafikan wujud kes culik oleh ‘van putih’ dapat dimaafkan masyakarat. – MYNEWSHUB
REM RAMZI/MYNEWSHUB.CC