ALASKA – Seorang penyampai berita di televisyen KTVA, Charlo Greene yang mengejutkan penonton kerana mengumumkan dia meletak jawatan ketika berita sedang keudara bagi memperjuangkan usaha membenarkan penggunaan ganja, sebenarnya pernah menyebabkan seorang kanak-kanak jatuh sakit.
Budak berusia empat tahun itu, yang juga jirannya, sakit selepas Greene menghisap terlalu banyak ganja di rumahnya, hinggakan asap ganja itu memudaratkan budak tersebut.
Menurut jirannya yang juga bapa kanak-kanak tersebut, Tyler Gilbrech, Greene dan kekasihnya mula menjadikan apartmen mereka sebagai sarang menghisap ganja sejak kedua-duanya berpindah ke apartment tersebut pada bulan Jun lalu.
“Keadaan menjadi bertambah buruk hinggakan anak perempuan saya menjadi sakit akibat asap ganja tersebut.
“Saya kemudiannya membuat aduan kepada pengurus apartmen tetapi Greene meminta pengurus terbabit supaya tidak masuk campur hingga memaksa saya mengambil tindakan,’’ katanya.
Menurut Gilbrech, Greene sebaliknya mendakwa beliau yang mengganggu dia dan kekasihnya .
Susulan itu Gilbrech berkata, pasangan kekasih itu kemudiannya diperintahkan oleh mahkamah supaya menjauhi keluarga Gilbrech sekurang-kurangnya 20 kaki.