PUTRAJAYA – Lapan peserta akan berentap dalam pentas akhir Pertandingan Bintang Klasik 2014 di Auditorium Perdana Angkasapuri, Kuala Lumpur pada 9 malam, Sabtu ini.
Peserta terdiri dari tiga wanita dan lima lelaki berumur antara 18 hingga 31 tahun itu akan mendendangkan dua buah lagu yang popular pada era 60-an hingga 90-an.
Pengarah Bahagian Program Radio, Radio Televisyen Malaysia (RTM) Dr Nawiyah Che Lah berkata dijangka lebih sejuta penonton akan menyaksikan pertandingan itu yang akan disiarkan secara langsung di saluran TV2 dan siaran radio Klasik.
Kelainan pada pertandingan kali ini adalah peserta diperlukan berduet dengan bekas juara Bintang Klasik dan Bintang Nostalgia, katanya dalam sidang media mengenai pertandingan itu di Kelab Tasik Putrajaya di sini hari ini.
Johan pertandingan akan membawa pulang wang tunai RM20,000, sebuah motosikal Modenas, sijil serta piala iringan; tempat kedua (wang tunai RM15,000, motosikal Modenas, sijil serta piala iringan), tempat ketiga (wang tunai RM10,000, motosikal Modenas, sijil serta piala iringan) manakala persembahan terbaik membawa pulang wang tunai RM3,500.
Nawiyah berkata pada pertandingan akhir itu juga, penyanyi undangan seperti Kumpulan Forteen, Azharina Azhar, Erni Zakri dan Asmidar akan menyampaikan lagu-lagu yang pernah dipopularkan oleh Allahyarham Datuk Sharifah Aini dan Allahyarham Latiff Ibrahim.
Beliau berkata pencarian bakat Bintang Klasik 2014 bermula April lalu di seluruh negara dan mendapat sambutan dengan kehadiran kira-kira 1,000 peserta untuk uji bakat. – BERNAMA