Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendedahkan pula bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP yang menyuruh PAS bertemu dengan bekas veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li memasuki PAS selepas dua parti sebelum itu gagal berbuat demikian.
“Yang pertama untuk bertemu Ku Li ialah PKR, bukan kami (PAS). Mereka pelawa Ku Li untuk menyertai PKR.
“Selepas itu, DAP pula pergi bertemu Ku Li dan mempelawa beliau menyertai parti mereka, Ku Li juga tidak berminat menyertai DAP,” kata Abdul Hadi pada sesi dialog dengan ahli PAS di Rusila, Marang, Terengganu semalam.
Menurut laporan The Malaysian Insider, kenyataan Abdul Hadi itu sebagai menjawab soalan daripada hadirin berhubung kenyataan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli yang mendakwa Ku Li menjadi pilihan PAS untuk menjadi Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-13.
Menurut beliau, tujuan PAS bertemu Ku Li hanya kerana atas permintaan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat (PR) selepas PKR dan DAP gagal.
“Jadi, kami (PAS) pelawa beliau untuk sertai PAS tetapi beliau tidak mahu menyertai PAS tetapi mahu kekal dalam Barisan Nasional (BN),” kata Abdul Hadi.
Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rusila, itulah kisah sebenarnya yang terjadi berhubung Ku Li.
Kenyataan itu merupakan kenyataan pertama Abdul Hadi berhubung dakwaan Rafizi itu.
Pada 5 Ogos lepas, Rafizi yang baru dipilih sebagai Naib Presiden memaklumkan sebuah forum bahawa pemimpin PAS antaranya Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali, Timbalan Presiden Mohamad Sabu dan Naib Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man telah memaklumkan kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebulan sebelum Pilihan Raya Umum pada 5 Mei bahawa mereka mahu Ku Li dilantik sebagai Perdana Menteri.
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Dr Mohd Zuhdi Marzuki juga mengesahkan perkara itu.
Anwar dikatakan tidak bersetuju dengan cadangan itu dan PAS pun menutup perkara itu tanpa membuat apa-apa pengumuman.
Mustafa selepas dakwaan Rafizi itu ada mendakwa kenyataan itu sebagai bodoh, tetapi tidak mengesahkan atau menafikan perkara itu.
Sabtu lalu, Anwar mendedahkan bahawa beliaulah calon pilihan PAS untuk jawatan Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat memenagi Pilihan Raya Umum ke-13 peringkat Parlimen, menidakkan langsung cerita bahawa PAS mahukan Ku Li sebagai Perdana Menteri.
“Biarpun perkara ini tidak diumumkan oleh PAS, ke mana sahaja saya pergi, sama ada bersama PAS Johor mahupun Kelantan biar di depan Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sekali pun, saya tetap menjadi pilihan mereka sebagai Perdana Menteri,” kata Anwar dalam satu ceramah minggu lepas.
Anwar bijak menafikan bantahan ramai menolak beliau sebagai Perdana Menteri dengan mengatakan bantahan hanya hadir daripada sebilangan kecil kumpulan dalam PR.
Sementara itu, Abdul Hadi turut menjelaskan ciri-ciri seorang pemimpin yang ingin dilantik sebagai Menteri Besar perlulah berkebolehan biarpun individu itu seorang wanita.
“Untuk lantik pemimpin, banyak syarat-syaratnya antaranya pemimpin itu sendiri mesti ada kebolehan dan kelayakan dia untuk jadi pemimpin.
“Kalau daripada awal lagi dia tidak ada kebolehan, untuk jawab soalan di Dewan Undangan Negeri (DUN), nak berdialog dan berdebat dalam DUN pun tak boleh, macam mana nak jadi pemimpin?
“Ini tidak boleh, jadi syarat-syarat ini tidak lepas, bila tidak berjaya melepasi syarat-syarat ini maka tidak boleh jadi pemimpin bukannya disebabkan perempuan atau lelaki,” kata Abdul Hadi.
Beliau menjawab soalan seorang hadiri pada majlis berkenaan yang bertanya adakah PAS menolak Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor kerana beliau seorang wanita.
Bagaimanapun, ada video yang dimuatnaik di laman YouTube menunjukkan bagaimana Dr Wan Azizah ketika berbahas di persidangan DUN Selangor sebagai ADUN Kajang yang memang tidak berkredibiliti sebagai seorang Menteri Besar.
Atas dasar inilah, Abdul Hadi begitu tegas dalam suaranya tidak menerima pencalonan Dr Wan Azizah untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. – MYNEWSHUB
Oleh : IBNU K