KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) meminta Menteri Besar Selangor yang baharu dilantik, Mohamed Azmin Ali membuat kajian dan pindaan ke atas Perlembagaan negeri Selangor berhubung definasi peranan dan fungsi pemerintahan beraja perlembagaan.
Pindaan itu kononnya bagi menjadikan perlembagaan negeri lebih jelas sejajar dengan amalan sistem Parlimen `Westminster’ yang diamalkan oleh negara terutama dalam hal membabitkan pelantikan ketua kerajaan seperti Perdana Menteri atau Menteri Besar.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Gooi Hsiao Leung berkata, beliau menggesa Mohamed Azmin menggunakan peranan sebagai Menteri Besar Selangor memulakan reformasi Perlembagaan untuk mengelak krisis lain dalam pelantikan Menteri Besar Selangor pada masa depan.
“Saya berharap Mohamed Azmin melantik jawatankuasa undang-undang negeri yang tinggi untuk menjalankan kajian terperinci Perlembagaan negeri dan mencadangkan pindaan yang perlu untuk membuat ia lebih jelas dalam mendefinisikan peranan dan fungsi pemerintahan beraja perlembagaan,†katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hsiao Leung dalam pada itu mempertikaikan kenyataan Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani bahawa Istana Selangor lewat melantik Mohamed Azmin disebabkan pergolakan dalaman PKR serta tiada kesefahaman parti-parti dalam pakatan pembangkang berhubung isu pencalonan nama Menteri Besar.
Beliau mendakwa Istana Selangor tidak mendapat nasihat yang tepat atas kegunaan kuasa `budi bicara’ Perlembagaan dalam pelantikan Menteri Besar Selangor apabila tidak melantik Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor.
Dakwanya penjelasan yang dikemukakan Mohamad Munir menjauhi pertimbangan dan prinsip paling asas dalam Perlembagaan iaitu Menteri Besar yang akan dilantik mesti mendapat sokongan majoriti dan keyakinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Menurutnya, Wan Azizah telah mendapat surat akuan sokongan daripada ADUN PKR dan DAP di Selangor termasuk Mohamed Azmin yang menjadikan Presiden PKR itu mendapat sokongan majoriti ADUN Selangor.
“Cara bagaimana Istana, yang secara salah telah dinasihatkan dalam membuat penilaian calon Menteri Besar yang berpotensi, juga telah mewujudkan kekeliruan ramai tentang peranan raja berperlembagaan yang diamalkan dalam sistem Parlimen `Westminster’ yang diikuti kami – membangkitkan soalan yang serius – iaitu siapa yang memilih Menteri Besar?. Raja atau parti pemerintah yang dipilih oleh rakyat,†dakwanya.