ARAU – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menasihati mahasiswa supaya sentiasa peka dengan perkembangan semasa di samping menyuburkan sifat kreativiti untuk berjaya.
Baginda bertitah kecemerlangan akademik harus disertai dengan kecemerlangan pengurusan organisasi, kepimpinan, komunikasi, proaktif, berinisiatif, memiliki moral dan budi pekerti tinggi, berdisiplin, rajin serta komited melaksanakan amanah.
“Oleh itu setiap mahasiswa tidak seharusnya berfikiran dengan menganggap universiti sebagai pusat menimba ilmu akademik semata-mata tetapi sebaliknya mencari ilmu lain untuk melengkapkan diri dalam menempuh cabaran masa hadapan,” titah baginda.
Syed Faizuddin merasmikan Festival Konvokesyen (FESTKON) ke-9 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) 2014 di Dataran Boulevard, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra dekat sini malam tadi.
Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga Pro Canselor UniMAP.
Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man dan Naib Canselor UniMAP Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin.
Syed Faizuddin Putra yang juga Tuanku Canselor UniMAP bertitah kreativiti mahasiswa menjadi nilai tambah dan kualiti mereka yang menyakinkan bakal majikan yang berhasrat mengambil mereka bekerja.
“Saya menyeru para pelajar supaya serius berusaha menambah ilmu dan dalam masa sama hendaklah berhemah dan berfikir secara rasional dan tahu cara untuk menyuarakan pandangan.
“Mahasiswa masa kini adalah kelompok paling besar dalam populasi masyarakat Malaysia dan cetusan pandangan bernas mereka amat penting dalam meningkatkan inovasi baharu pembangunan negara, bangsa dan agama,” titah baginda.
Syed Faizuddin bertitah ilmu yang dikuasai hendaklah dipraktikkan untuk tujuan baik bagi mengangkat martabat dan integriti mahasiswa menjadi golongan intelek yang mantap rohani, jasmani dan emosi. – BERNAMA