KUANTAN – Seorang peniaga kedai runcit dipenjara sehari dan didenda RM5,800 manakala anak perempuannya didenda RM6,500 selepas kedua-duanya mengaku bersalah dalam Mahkamah Majistret Kuantan semalam atas tuduhan secara bersama memiliki 480 paket rokok seludup di sini, kira-kira tiga tahun lalu.
Soriyani Othman, 47 dan anaknya, Siti Arwanie Abdul Kadir, 26 dari Kampung Peramu, Jalan Tanjung Lumpur di sini turut berdepan hukuman penjara selama enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.
Hukuman diputuskan Majistret Tuan Ruzuaini Tuan Lah manakala pendakwaan dikemukakan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Nurhafizah Ahmad.
Berdasarkan fakta kes, sepasukan anggota JKDM melakukan pemeriksaan ke atas premis kedai runcit milik tertuduh yang terletak di Pusat nelayan Laut, Jalan Tanjung Lumpur.
Hasil pemeriksaan kira-kira jam 12.30 tengah hari, 30 Ogos 2012 itu membawa kepada penemuan sejumlah rokok seludup pelbagai jenis bernilai RM573.84 yang disimpan di kaunter bayaran dan stor kedai.
Pemeriksaan lanjut mendapati rokok tersebut adalah barang yang dilarang import di bawah butiran I Bahagian II Jadual Keempat Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2008 dan kedua- dua tertuduh juga gagal mengemukakan sebarang dokumen berhubung pemilikan barangan larangan itu.
Bagi kesalahan itu, dua beranak itu didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Jika sabit kesalahan mereka boleh didenda tidak kurang 10 kali nilai rampasan atau RM5,738.40 dan tidak lebih 20 kali nilai rampasan iaitu RM11,476.80 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Dalam rayuannya, Soriyani merayu agar hukuman denda ke atasnya dikurangkan memandangkan suaminya hanya bekerja sebagai nelayan dengan pendapatan bawah RM1,000 sebulan dan menanggung lima anak termasuk empat yang masih bersekolah.
Manakala Siti Arwanie yang masih bujang dan kini masih bekerja sebagai pembantu kedai milik ibunya itu turut merayu akar mahkamah mengurangkan hukuman ke atasnya.
Bagaimana pun Nurhafizah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pencegahan terhadap peniaga terbabit memandangkan aktiviti menjual rokok seludup semakin berleluasa kebelakangan ini.
Menurutnya, berdasarkan laporan, pengguna rokok haram itu kini mencecah 38.9 peratus membabitkan kerugian cukai mencecah RM2 bilion setahun malah Malaysia disenaraikan berada di tangga ke tiga tertinggi berhubung penggunaan rokok tidak sah itu.
“Jika aktiviti ini tidak dibendung, hasrat kerajaan untuk mengurangkan tabiat merokok terutama dalam kalangan remaja tidak akan berjaya kerana rokok haram ini dijual pada harga antara RM3.50 hingga RM4.50 sedangkan kerajaan menetapkan harga minima rokok RM7,†katanya. – Sinar Harian Online