CYBERJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan setiap pelajar di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) wajib lulus kursus Bahasa Inggeris sebelum menamatkan pengajian di universiti masing-masing.
Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata, polisi baharu kerajaan itu juga sudah dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak demi melahirkan graduan bertaraf antarabangsa.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Pemangkin Kebolehpasaran Graduan (CGEE) 2014, di sini, hari ini.
CGEE adalah program yang bertujuan menyediakan pelajar ke alam pekerjaan dengan memberikan latihan dan pendedahan kepada mereka selain menawarkan peluang pekerjaan di akhir program berkenaan di Cyberjaya.
Ia memberi peluang kepada pelajar untuk menjalankan latihan industri di syarikat terkemuka di Cyberjaya sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada mereka di syarikat yang terbabit.
Katanya, dalam masa tiga tahun akan datang dijangka kira-kira 10, 000 peluang pekerjaan bakal diwujudkan di Cyberjaya, justeru pelaksanaan program CGEE 2014 ini berada pada landasan yang sangat tepat. – BH Online
Saya bukan membangkang dasar kerajaan tetapi meminta kerajaan berfikir sejenak. Kita tidak seharusnya membuat keputusan tergesa-gesa dalam hal ini. Program yang dijalankan secara tergersa-gesa akhirnya akan tersungkur di tengah jalan seperti PPSMI. Jika bukan program yang tersungkur maka pelajar akan tersungkur akibat kegagalan. Hal ini perlu difikirkan secara mendalam agar pengurusan sumber manusia dapat diuruskan secara produktif dan ifektif. Akibat pembuburan PPSMI kanak-kanak yang telah mengusai bahasa Inggeris terpaksa memahami istilah bahasa Melayu terutama dalam sains. Alangkah baiknya pada tahun 2008 tiada peperiksaan dwibahasa dalam UPSR. Jika ia hendak dimulakan dasar ini maka perlulah dimulakan di peringkat awal alam persekolahan. Kenapa kita tidak belajar dari pengalaman. Cadangan saya jika kerajaan masih bekeras untuk melaksanakannya maka perlulah dilakukan pada pelajar baru bukan pelajar yang telah sedia ada. Selama inipun siswa dan siswi telah mengambil peperiksaan MUET.