KUALA LUMPUR – Malaysia menyaran agar masyarakat antarabangsa bekerjasama untuk menyelaras dan menggerakkan sumber bagi memastikan wujud respons kemanusiaan dalam menangani wabak Ebola secara berkesan.
Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Datuk Hussein Haniff berkata pada peringkat ini, adalah penting bagi memastikan sokongan kepada negara yang dijangkiti wabak diselaras dan dikekalkan pada peringkat antarabangsa.
“Adalah juga penting kepada semua agensi PBB untuk terus proaktif, berkoordinasi dan fleksibel dalam memberi respons kepada cabaran wabak bahaya ini,” katanya pada perbahasahan terbuka ‘Peace and Security in Africa: The Ebola Outbreak’ di Majlis Keselamatan PBB di New York pada Khamis.
Teks ucapan beliau dihantar kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata skala serangan Ebola tidak boleh dijangka dan situasi semakin buruk kerana ia melepasi sempadan negara yang turut memberi kesan kepada aktiviti sosioekonomi dan keselamatan negara yang dijangkiti.
“Cabaran wabak adalah sukar untuk satu negara menghadapinya bersendirian. Ancaman ini memerlukan respons global,” kata Hussein.
Beliau berkata Malaysia menyambut baik sumbangan dan ikrar pelbagai negara untuk memerangi wabak ini, namun tindakan yang diambil setakat ini belum mencukupi.
“Lebih banyak perlu dilakukan oleh masyarakat antarabangsa untuk mengubah keadaan. Perbahasan terbuka hari ini kena pada masanya semasa kita mengambil tindakan lanjut untuk menangani krisis ini,” kata beliau.
Beliau berkata Malaysia telah bertinak balas terhadap rayuan antarabangsa terutama berhubung kekurangan sarung tangan perubatan getah yang diperlukan dalam menangani wabak.
“Pada 15 Sept, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menyerahkan 20.9 juta sarung tangan getah dalam 11 kontena untuk diedarkan kepada negara berkenaan.
“Liberia, Sierra Leone dan Guinea masing-masing akan menerima tiga kontena yang setiap satu mengandungi 1.9 juta sarung tangan, sementara Republik Demokrat Congo dan Nigeria masing-masing akan menerima satu kontena.
“Sarung tangan perubatan ini akan dihantar dari Malaysia kepada pelabuhan utama negara-negara berkenaan secepat mungkin,” kata Hussein.
Beliau berkata Malaysia turut prihatin wabak ini boleh mengubah keamanan yang mahu ditegakkan di tiga negara terbabit iaitu Liberia, Sierra Leone dan Guinea.
“Dalam masa mereka memerlukan, kita tidak boleh meninggal atau memencilkan negara-negara ini,” katanya. – BERNAMA