KUANTAN – Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara menyasarkan kutipan jualan hasil seni menerusi Festival Pelancongan Seni Kontemporari 1Malaysia (1MCAT) tahun ini sebanyak RM24 juta.
Pengerusinya Datuk Mahadzir Lokman berkata sasaran itu yakin dapat dicapai menerusi beberapa siri pameran seni yang dijalankan di seluruh negara termasuk yang sedang berlangsung di Pahang.
“Sejak diperkenalkan pada tahun 2010, kita berjaya mengutip hasil jualan seni berjumlah kira-kira RM61 juta dan diharap sasaran RM24 juta pada tahun ini dapat dicapai melebihi jualan tahun lepas iaitu RM19 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas perasmian 1MCAT peringkat negeri oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengerusi Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif di Kompleks Yayasan Pahang di sini hari ini.
Dianjurkan dengan kerjasama Fakulti Warisan Pelancongan dan Seni Kreatif Kolej Antarabangsa IKIP, Persatuan Seni Lukis Pahang dan Rajawali Art Group, 1MCAT peringkat Pahang menghimpunkan 50 lukisan dan karya seni pelukis dan penggiat seni dari seluruh Pahang yang dipamerkan di Yayasan Pahang bermula 17 Sept hingga 30 Okt ini.
Mahadzir dalam pada itu berkata program demikian dapat merangsang percambahan budaya dalam kalangan masyarakat dengan pendedahan terhadap pelbagai elemen tradisional dan kontemporari yang menjadi asas kepada sesuatu karya seni.
“Dalam konteks 1MCAT, penggiat seni visual turut berperanan mengetengahkan budaya dan warisan negara melalui hasil karya mereka. Cetusan idea adalah hasil dari pemerhatian dan penghayatan yang diperoleh dari persekitaran.
“Secara tidak langsung, perkara yang diabadikan menerusi hasil karya mereka akan membentuk budaya bangsa serta menjadi sebahagian warisan negara,” katanya. – BERNAMA