TUMPAT (Kelantan) – Ketua Pergerakan Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil hari ini turun padang melawat beberapa buah rumah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor bertemu pengundi.
Shahrizat mula-mula sekali menziarahi rumah Fauziah Stapa yang kehilangan anak perempuannya yang meninggal dunia kerana penyakit Leukimia pada pukul 10 malam tadi di Kampung Geting.
Anaknya Siti Nazariah, 25, meninggal dunia dan meninggalkan dua orang anak lelaki.
Fauziah dilihat begitu berbesar hati dengan kehadiran Shahrizat yang juga bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi menghilangkan kesedihan akan kematian anaknya.
Lawatan Shahrizat turut diiringi beberapa pemimpin Pergerakan Wanita UMNO untuk membantu kempen Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pengkalan Kubor.
Kemudian Shahrizat melawat sebuah lagi rumah menziarah adik Muhd Apis , 23 dan Muhd Azizi, 24 yang tidak dapat melihat dan mendengar di kawasan berdekatan.
Pada PRK berkenaan, BN menampilkan wakilnya seorang bekas guru Mat Razi Mat Ail, berdepan calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.
Kira-kira pukul 3 petang, Shahrizat menghadiri program Sembang Petang Bersama Usahawan Muda Wanita di Restoran DSBJT Seafood yang terletak berdekatan.
Restoran itu diusahakan oleh seorang wanita Ainzatul Salini Halim, 21, yang mengambil alih restoran berkenaan daripada Allahyarham ibunya yang meninggal dunia pada Jun lepas.
Beliau turut memiliki sebuah kedai tayar di seberang jalan berkenaan yang dikendalikan oleh bapa tirinya Mohamad Adnan Ariffin, 48.
Shahrizat turut meluangkan masa meninjau kedai tayar milik Ainzatul Salini selepas selesai berucap pada program di restoran.
Pada program itu, para usahawan muda wanita berpeluang melihat satu demonstrasi kecantikan oleh pelakon Zarina Zainuddin. – MYNEWSHUB.CC
Oleh : IBNU K | Foto dan Video : RIZA RAZAK